Saturday 3 December 2011

Pendidikan Moral dalam KSSR



Matlamat
Kurikulum Standard Pendidikan Moral bermatlamat membentuk insan berakhlak mulia, berintegriti dan boleh menyumbang ke arah keharmonian dan kestabilan negara serta masyarakat global.

Objektif
Kurikulum Standard Pendidikan Moral Sekolah Rendah membolehkan murid untuk mencapai objektif berikut: 
  1. Memahami dan menghayati nilai-nilai universal.
  2. Menghayati dan mengamalkan budi pekerti mulia.
  3. Melaksanakan tanggungjawab moral dan sosial bagi mengekalkan kesejahteraan diri dengan keluarga,  sekolah, jiran, masyarakat dan negara;  dan  iv. mengembangkan dan mengaplikasikan penaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral dalam membuat pertimbangan dan keputusan.
Peranan Guru
Sebagai guru yang perlu mengajar tiga domain iaitu penaakulan moral, perasaan moral dan tingkah laku moral, guru berhadapan dengan cabaran yang agak kompleks dalam penyediaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perhatian perlu diberikan terhadap aktiviti yang akan membantu meningkatkan tanggungjawab murid dalam pembelajaran mereka. Guru juga perlu membantu murid dengan menyediakan garis panduan bagaimana mereka bekerja dalam kumpulan atau melaksanakan aktiviti kolaborasi. Guru menyediakan peluang untuk komunikasi yang akan memberi kesan kepada murid dari aspek berkongsi idea, melaksanakan aktiviti dan mencapai kata sepakat. Tahap penglibatan murid secara aktif juga bergantung kepada jumlah masa dan tahap kedalaman dalam penglibatan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Pendahuluan
Kurikulum Standard Pendidikan Moral ialah satu program mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan penaakulan moralperasaan moral dan perlakuan moral

Penaakulan Moral
Keupayaan mental untuk menaakul dalam situasi yang kabur demi mengenal pasti perlakuan baik dan jahat, salah dan  benar. Keupayaan mental dapat merungkai dan menyelesaikan dilema moral sebaik mungkin secara autonomi, rasional dan objektif.

Perasaan Moral 
Kesedaran hati nurani yang menyebabkan insan berasa gembira apabila membuat sesuatu yang betul dan rasa bersalah jika melakukan sesuatu yang tidak betul.

Perlakuan Moral
Tindakan berdasarkan penaakulan moral dan perasaan moral yang dilakukan secara rela hati dengan rasa tanggungjawab dan akauntabiliti.

Kurikulum Standard Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan moraliti murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni universal yang  terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di  negara ini. Dengan itu murid dapat satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang berintegriti moral dan sosial terhadap  segala keputusan dan tindakan yang  dilakukan.

Nilai-Nilai Murni

1. Kepercayaan kepada Tuhan
Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhanNya berlandaskan pegangan agama masingmasing selaras dengan prinsip Rukun Negara.






2. Baik hati
Kepekaan terhadap perasaan dan kebajikan diri sendiri dan orang lain dengan memberi bantuan dan sokongan moral secara tulus ikhlas.


3. Bertanggungjawab
Kesanggupan untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.




4. Berterima kasih
Perasaan dan perlakuan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan atau pemberian.




5. Hemah tinggi
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.




6. Hormat
Menghargai dan memuliakan seseorang serta menghormati peraturan institusi sosial dengan memberi layanan yang bersopan.




7. Kasih Sayang
Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.






8. Keadilan
Tindakan dan keputusan yang tidak berat sebelah.




9. Keberanian
Kesanggupan untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah.









10. Kejujuran
Bercakap benar, bersikap amanah dan ikhlas dalam setiap perlakuan.




11. Kerajinan
Usaha yang berterusan, bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara.




12. Kerjasama
Kesediaan melakukan sesuatu untuk kepentingan bersama.




13. Kesederhanaan
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.




14. Toleransi
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri demi kesejahteraan hidup.







No comments:

Post a Comment